Banjir di Pahang menurun 35 orang, PPS di Maran dan Raub masih dibuka - Utusan Malaysia

Banjir di Pahang menurun 35 orang, PPS di Maran dan Raub masih dibuka

ANGGOTA APM mengemas khemah mangsa banjir selepas PPS Sekolah Menengah Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak, Tekam ditutup hari ini di Jerantut, Pahang. - FOTO/APM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 35 orang membabitkan 11 buah keluarga di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Maran dan Raub dekat sini sehingga pukul 8 malam ini.

Angka yang sama juga dicatat pada pukul 6 petang hari ini berikutan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (SMKPPPTR) Tekam ditutup apabila 12 mangsa daripada lima buah keluarga pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir pulih.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, penurunan mangsa banjir di negeri ini juga berikutan kesemua PPS di Kuantan ditutup tengah hari ini setelah keadaan banjir pulih sepenuhnya.

“Sehingga kini sejumlah 21 orang mangsa masih ditempatkan di PPS balai raya Ulu Sungai, Raub, manakala 14 orang mangsa daripada tiga buah keluarga masih berada PPS balai raya Kampung Baru Pertanian, Maran.

“Kesemua mangsa yang pulang ke rumah masing-masing kini masih dipantau oleh anggota APM dan bomba dan penyelamat setiap daerah khususnya yang berdekatan dengan aliran sungai berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Che Adam berkata, tiga batang sungai menunjukkan paras bahaya, iaitu, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran mencatat aras air setinggi 19.70 meter, Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan (10.66 meter) dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau – Keratong, Rompin (23.70 meter).

“Sungai Jempol di Felda Jengka juga merekodkan paras 30.13 meter pada paras amaran, manakala enam batang sungai di Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan menunjukan paras waspada.

“Hujan lebat dan ribut petir dilaporkan masih berlaku di kebanyakan tempat di negeri ini mulai petang hari ini hingga ke malam esok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya