KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap projek-projek pembangunan melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini dapat diteruskan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari nanti.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menunjukkan sikap adil dan saksama dalam membentangkan bajet berkenaan.
“Kita menunggu Bajet 2023 dan harapan kita adalah supaya kerajaan tidak mengenepikan kepentingan negeri-negeri terutama negeri yang diperintah pembangkang.
“Kita berharap mana-mana projek yang mendapat kelulusan sebelum ini dapat diteruskan manakala projek-projek yang sudah diangkat dan dalam pertimbangan sebelum ini dapat dipertimbangkan terutamanya melibatkan projek yang berimpak besar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mohd. Amar memberitahu, antara projek besar yang diharap dapat diteruskan termasuk Projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Kota Bharu ke Kuala Krai.
Katanya, pada masa sama kerajaan negeri berharap Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bernilai RM1.3 bilion diharap dapat diteruskan.
“Saya berharap beliau dapat mengambil kira kepentingan rakyat di negeri ini. Pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat, antara projek besar di negeri ini dan kita bimbang kalau ia dibatalkan.
“Selain itu, Kelantan juga telah dipilih menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2026 dan kita harap kelulusan ini dikekalkan termasuk peruntukan infrastruktur sukan seperti pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Selising, Pasir Puteh dapat diteruskan,” ujarnya.-UTUSAN