Awak rampas hidup anak saya - Istamuel Amir - Utusan Malaysia

Awak rampas hidup anak saya – Istamuel Amir

FOTO Gibran Alfarizqi yang dikongsikan bapanya dalam laman Facebook.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 57.2, Lebuhraya Senai-Desaru di Bandar Penawar semalam memohon bantuan saksi yang mempunyai rakaman bukti kejadian itu supaya tampil kepada pihak polis.

Istamuel Amir Hamzah, 30, berkata, kejadian itu telah meragut nyawa anak kesayangannya, Gibran Alfarizqi, 3, manakala isterinya, Farida Kurnianingsih, 36, kini berada dalam keadaan kritikal. 

Ketika kejadian dia sempat melihat sebuah kenderaan yang cuba memotong sebelum terbabas melanggar kenderaannya dan beberapa kereta lain.

“Lebih kurang pukul 3.30 hingga 4.30 petang, kami sekeluarga telah terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Pasir Gudang. Saya telah kehilangan anak yang kami sayang dan isteri saya kritikal patah di pelbagai anggota badan. 

“Sebelum kemalangan saya melihat sebuah kenderaan berwarna hitam atau gelap telah memotong terlalu rapat dengan kereta dari arah bertentangan sehingga mereka mengelak dan terbabas melanggar saya dan kereta-kereta di belakang. Saya mohon bantuan jika ada sesiapa yang ada dashcam atau lain-lain bukti, saksi untuk tampil kepada saya atau Balai Trafik Kota Tinggi,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook hari ini.

Istamuel Amir turut berharap individu yang menjadi punca kemalangan itu akan bertanggungjawab dengan apa berlaku.

“Lihatlah anak saya, masih kecil, masih belum sempat mengenal dunia. Terlalu singkat waktu dia bersama ibu bapanya, terlalu singkat gelak tawa, tangisan dan permintaan daripada dia. Tetapi disebabkan kecuaian dan kelalaian seseorang, dia telah pergi meninggalkan kami. Harta, wang ringgit semua boleh diganti, tapi anak saya, satu-satunya anak saya, tiada gantinya. 

“Awak telah merampas hidup anak saya. Saya harap awak yang menyebabkan kemalangan ini sedar, bertanggungjawab. Lihatlah anak saya yang tak ternilai. Dia cakap “Gibran happy main pantai dengan mama, papa”. Saat-saat ini, dah tak mungkin kembali ke kami,” katanya lagi yang turut berkongsi foto anaknya bermain di pantai.

Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak maut manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan Proton Persona, Honda CRZ, Perodua Myvi, Perodua Bezza dan Honda Insight.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut disyaki berpunca akibat daripada memotong kenderaan tidak lepas.

“Akibatnya berlaku perlanggaran antara kenderaan yang lain dari arah bertentangan. Seorang mangsa kanak-kanak lelaki telah maut dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya