JERANTUT: Selepas banjir pulih di Rompin, dekat sini empat hari lalu, kini sudah ada tanda awal kejadian yang sama di daerah ini apabila air Sungai Tembeling melimpah masuk ke dataran perniagaan dan jeti di Kampung Bantal, pedalaman Ulu Tembeling kira-kira 130 Kilometer dekat bandar Jerantut malam ini.
Air mula masuk ke kawasan kedai kopi, jeti bot penambang dan beberapa kediaman pesisir sungai kira-kira pukul 10 malam ini setelah siren pertama amaran banjir berbunyi.
Kejadian itu berlaku berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu di kawasan pedalaman ulu menyebabkan kenaikan paras air dua batang sungai utama, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di kawasan pedalaman Ulu Tembeling.
Berasaskan laporan di laman sosial Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan di Pahang membabitkan kawasan pedalaman termasuk Jerantut antara terkesan sejak semalam.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 44, berkata, fenomena berkenaan kerap berlaku apabila hujan lebat di ulu sungai pada penghujung dan awal tahun.
“Air mula memenuhi dataran kampung ini meliputi pondok menunggu bot penambang berdekatan jeti, kedai kopi dan laluan simen ke kawasan rumah berdekatan.
“Bagaimanapun, kami tidak panik kerana sudah tahu air akan melimpah memandangkan pada petang semalam paras air Sungai Tembeling mulai meningkat naik di tangga jeti bot kampung ini,” katanya.
Ujar Jamizan, pemilik beberapa buah kedai kopi dan runcit mula mengangkat barang ke tempat yang tinggi dan selamat sebagai persediaan awal dikhuatiri air semakin melimpah tengah malam ini. – UTUSAN