Air Sungai Tembeling melimpah masuk di Kampung Bantal, Ulu Tembeling - Utusan Malaysia

Air Sungai Tembeling melimpah masuk di Kampung Bantal, Ulu Tembeling

SEORANG pemilik kedai kopi sedang mengemaskan kerusi meja berikutan air Sungai Tembeling melimpah masuk di dataran perniagaan Kampung Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Setelah beberapa kawasan penempatan di Kuantan mula dinaiki air hari ini, kini daerah ini pula sudah menunjukkan tanda awal bencana yang sama apabila Kampung Bantal, Ulu Tembeling kira-kira 130 kilometer di sini dilanda banjir.

Siren Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di Kampung Bantal sudah pun berbunyi menunjukkan amaran pertama banjir pukul 6.25 petang hari ini, kemudian dituruti siren amaran bahaya pukul 7.03 malam ini.

Penduduk Kampung Bantal, Hamizon Loai, 51, berkata, penduduk sudah pun menjangka air Sungai Tembeling melimpah semula berikutan hujan lebat berlaku sejak tiga hari lalu di kawasan ulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia.

“Empat hari lalu, air Sungai Tembeling sudah melimpah masuk ke kawasan dataran perniagaan, laluan pejalan kaki, kedai kopi dan wakaf menunggu bot penambang pada sebelah malam dan surut semula pada sebelah pagi keesokannya.

“Kini, air Sungai Tembeling mula melimpah semula ke dataran ini pada pukul 7 malam tadi dan ada tanda gelombang kedua banjir berlaku di sini berikutan hujan lebat masih berterusan,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.

Rakannya, Wan Mohd. Zakuan Wan Norahan, 36, berkata, penduduk di situ tidak panik dengan senario itu dan setelah mendengar siren JPS kebanyakan mereka sudah bersiap sedia berdepan bencana itu.

“Pertembungan aliran Sungai Tembeling dan Sungai Sepia antara punca air naik mendadak dan selalunya kawasan dataran perniagaan, pejalan kaki dan wakaf kerap dilimpahi air.

“Kebanyakan kedai kopi dan rumah di pesisir sungai ini dipasang tong pelampung dan penduduk tidak berasa bimbang dengan keselamatan harta benda, tetapi tetap waspada dengan senario ini,” katanya.

Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jasmizan Rashid, 44, pula berkata, sebarang aktiviti sungai seperti menangkap ikan dan pengangkutan bot penambang juga berhenti buat sementara berikutan arus Sungai Tembeling deras.

“Pemilik premis kedai kopi dan runcit sudah pun bersedia menyimpan barang jualan masing-masing sekiranya air sungai semakin naik dan memenuhi kawasan dataran kampung ini,” katanya.

Ujarnya, kenaikan paras air Sungai Tembeling juga memberi kesan, iaitu banjir berlaku di penempatan penduduk pesisir Sungai Tembeling, iaitu Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi, Kuala Tahan dan beberapa tempat lain di kawasan hilir sungai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya