27,688 rumah mampu milik dibina di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

27,688 rumah mampu milik dibina di Negeri Sembilan

TEO Kok Seong (tiga dari kiri) menyerahkan pemilikan nombor rumah kepada pembeli pada Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik Jenis A (Quasar), Bandar Springhill di sini hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 27,688 unit rumah mampu milik telah dibina oleh kerajaan Negeri Sembilan sejak tahun 2018 sehingga bulan Oktober tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, ia melibatkan sebanyak 8,685 rumah mampu milik jenis A berharga RM80,000 yang telah lulus kebenaran merancang di seluruh Negeri Sembilan.                          

“Hal ini termasuk projek perumahan yang berada dalam fasa pembinaan dan juga projek rumah mampu milik jenis A yang telah siap dibina. 

“Di samping itu, 9,579 unit rumah mampu milik jenis B dan 9,424 unit jenis C juga telah diluluskan kebenaran merancang sejak tahun 2018,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik Jenis A (Quasar), Bandar Springhill di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 120 orang pemohon daripada 1,465 permohonan bagi projek itu telah melepasi syarat yang ditetapkan dan berjaya dalam tapisan yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Pejabat Tanah dan Galian, Negeri Sembilan.

Menurut Kok Seong, bagi projek rumah mampu milik jenis A(Quasar) di Bandar Springhill, lebih 40 peratus dibina jenis A dan ia selari dengan Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mewajibkan setiap pemaju untuk membangunkan 50 peratus rumah mampu milik. 

“Daripada jumlah itu sebanyak 20 peratus adalah bagi rumah mampu milik yang berharga maksimum RM80,000.

“Sebanyak 15 peratus lagi adalah berharga di antara RM81,000 ke RM250,000 manakala baki lagi 15 peratus adalah bagi rumah mampu milik yang berharga di antara RM251,000 sehingga RM400,000,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menghadapi banyak cabaran dalam usaha untuk merealisasikan dan memenuhi objektif yang digariskan dalam Dasar Perumahan Negara terutama komitmen bagi golongan B40.

“Namun demikian, demi memastikan keseimbangan taraf hidup rakyat dan kegiatan ekonomi terus berdaya saing, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan jumlah rumah mampu milik di Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, kerajaan negeri menerima lebih 1,000 permohonan membina rumah di bawah Program Rumah Harapan Rakyat sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021. 

Jelas beliau, skim tersebut telah menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah bagi rumah bernilai RM75,000 kepada golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah banglo setingkat di atas bidang tanah masing-masing. 

“Menerusi Inisiatif Belanjawan 2023, kerajaan negeri meneruskan inisiatif Rumah Harapan Rakyat ini dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. 

“Kerajaan negeri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama berdaya saing ke arah merealisasikan matlamat menuju negeri sejahtera, inklusif dan mampan menjelang 2045,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya