PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 13 nelayan asing Vietnam termasuk tekong selepas menceroboh masuk perairan negara ini di 231.5 kilometer dari Kuala Tok Bali, di sini pada Khamis lalu.
Kehadiran bot berkenaan disedari oleh Maritim Malaysia Kelantan pada pukul 7.37 pagi semasa melakukan rondaan bersepadu di kawasan perairan Malaysia-Vietnam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nur Adli Syed Ab. Rahman berkata, semasa cuba menahan bot tersebut nelayan asing yang berusia 18 hingga 45 tahun itu bertindak licik dengan membuang tali dan pukat ke permukaan laut.
Menurutnya, pada masa sama nelayan berkenaan turut menyimbah minyak diesel di atas bot mereka bagi menghalang anggota Maritim Malaysia Kelantan membuat pemeriksaan.
“Bot berkenaan akhirnya berjaya ditahan dan periksa pada pukul 9.41 pagi selepas hampir dua jam mengejarnya.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati semua nelayan itu mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit sah untuk menangkap ikan di perairan negara,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia negeri di Tok Bali, di sini hari ini.
Syed Nur Adli memberitahu, pihaknya turut merampas tiga tan pelbagai jenis ikan, peralatan menangkap ikan, navigasi dan komunikasi serta bahan api diesel sebanyak 5,000 liter.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM1.56 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Perikanan 1985.-UTUSAN