10 rumah dilanda banjir fenomena air pasang besar - Utusan Malaysia

10 rumah dilanda banjir fenomena air pasang besar

AB. SAMIR MAHADI menunjukkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Dinar, Serkat, Pontian yang ditenggelami air pasang besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sebanyak 10 buah rumah di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar pada tengah hari ini, namun tiada pemindahan mangsa dilakukan.

Ketua Kampung Mukim Serkat, Ab. Samir Mahadi berkata, fenomena air pasang tersebut  datang dari dua sungai berhampiran, iaitu Sungai Chengkeh dan Sungai Dinar.

Kejadian tersebut berlaku  selama dua hingga tiga jam juga menyebabkan laluan ke Kawasan Perindustrian Tanjung Bin turut digenangi air mengakibatkan beberapa kenderaan terkandas.

Pihaknya dimaklumkan fenomena tersebut dijangka lebih besar esok dan meminta penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya berjaga-jaga dan bersiap sedia.

“Diharap penduduk berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarah oleh pihak berkuasa dan menyimpan segala dokumen penting seperti kad pengenalan, surat beranak, geran tanah dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Selain rumah penduduk, air pasang besar turut menyebabkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Dinar ditenggelami air.

“Petang ini ada jenazah seorang penduduk akan dikebumikan di tanah perkuburan tersebut dan diharap prosesnya dapat berjalan lancar dan air cepat surut,” katanya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan ketinggian air pasang besar pada pukul 11.55 pagi ialah 3.6 meter.

Fenomena air pasang besar di daerah Pontian bermula sejak 18 Februari hingga 24 Februari ini dan penduduk yang tinggal berhampiran sungai serta pantai sentiasa waspada.

“Sekiranya air pasang besar bertembung dengan hujan lebat,  penduduk perlu bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pasukan penyelamat yang tiba membantu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya