Yayasan Petronas bangkit keceriaan golongan kurang berkemampuan sempena Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Yayasan Petronas bangkit keceriaan golongan kurang berkemampuan sempena Tahun Baharu Cina

SABARIAH Saidan (tiga dari kiri) menyampaikan biskut bertemakan perayaan Tahun Baharu Cina kepada keluarga golongan kurang bernasib baik sempena Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 300 keluarga golongan kurang bernasib baik di Pantai Timur sempena Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina.

Sumbangan berupa bekalan makanan asas dan barangan bertemakan perayaan Tahun Baharu Cina itu disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 100 keluarga masing-masing di Bentong, Kemaman, Terengganu dan Kota Bharu, Kelantan.

Antara bekalan makanan asas yang disampaikan ialah beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, milo dan teh uncang serta kekacang.

Selain itu, setiap keluarga juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti mee kering, minyak bijan, sos taucu dan cendawan kering.

Sumbangan untuk penerima di Bentong disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan dan turut dihadiri oleh Pengarah JKM negeri, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin dan Ketua Operasi Petronas Pantai Timur, Yusri Anuar Ahmad.

Menurut Yusri Anuar, sumbangan ini merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina menyasarkan kumpulan masyarakat B40 seperti mana Sentuhan Kasih Festive untuk perayaan utama yang lain.

“Hasrat kami adalah supaya program ini dapat membangkitkan keceriaan dan kegembiraan dalam kalangan golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan,” katanya di sini semalam.

Sejumlah 2,150 keluarga kurang berkemampuan diraikan oleh Yayasan Petronas melalui Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina 2023 di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan seluruh negara.

Program Sentuhan Kasih Festive ini adalah inisiatif di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang mempunyai fokus untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang berkemampuan.

Ia dianjurkan bersempena sambutan perayaan-perayaan utama di Malaysia sebagai saluran bagi Yayasan Petronas bekerjasama dengan komuniti dalam meringankan beban keluarga yang disasarkan bagi membuat persiapan sambutan perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya