MACHANG: Hasrat warga emas untuk menghantar barang ke rumah anaknya tidak kesampaian apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Machang-Tanah Merah di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi, namun Nawi Ismail, 71, disahkan meninggal dunia di Hospital Machang di sini pada pukul 3.15 petang selepas lebih empat jam menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati, mangsa memandu kereta jenis Proton Iswara membawa isteri, Fatimah Mohamed, 67, bersama seorang anak perempuan yang berusia 31 tahun dan cucunya berusia setahun.
Menurutnya, Nawi bersama keluarganya sedang dalam perjalanan ke rumah seorang lagi anaknya di Kampung Batu Gajah, Lawang dekat Tanah Merah.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dari arah Tanah Merah ke Machang dipercayai cuba membrek daripada merempuh sebuah kenderaan di hadapannya.
“Insiden itu menyebabkan lori tersebut hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Adli memberitahu, empat sekeluarga itu dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut, namun Nawi disahkan meninggal dunia selepas cedera parah pada bahagian kaki kanannya.
Katanya, isteri mangsa cedera pada bahagian tangan manakala cucunya masih menerima rawatan di hospital tersebut dan ibu kepada bayi itu tidak cedera.
“Siasatan mendapati, nahas tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan yang dipandunya sehingga terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN