KUANTAN: Seorang wanita dipercayai penagih dadah berusia 40 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Belat ketika melarikan diri daripada serbuan polis di Pulau Biawak di Batu 3 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kehilangan wanita itu dilaporkan anaknya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan anaknya, mangsa disyaki terjatuh ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di lokasi kejadian.
“Susulan laporan itu, anggota polis ke lokasi untuk siasatan awal sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa sering ke lokasi itu untuk menghisap dadah dan ketika kejadian ada saksi ternampak wanita itu terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Operasi Ops Tapis dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Dalam operasi tersebut, seramai enam individu ditahan terdiri dua tangkapan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan empat tangkapan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama2.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi kejadian, mangsa terjatuh ke dalam sungai namun gagal menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian itu juga, sungai menunjukkan paras air sedang pasang sekali gus berarus deras,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 10 pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuantan bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pukul 2.53 hari ini.
“Pihak bomba membuat tindakan awal dengan mencari mangsa di tepi sungai sekitar lokasi kejadian dilaporkan terjatuh sehingga ke Sungai Belat menggunakan bot.
“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuantan juga diarahkan untuk bersiap sedia bagi misi mencari dan menyelamat di dalam air,” katanya.
Bagaimanapun, operasi yang digerakkan sekitar pukul 3 petang tadi, terpaksa ditangguhkan pada pukul 7 malam ekoran cuaca gelap dan akan disambung, esok. – UTUSAN