Dokumentari Pelayaran Sang Maestro dedah sejarah Empayar Melayu - Utusan Malaysia

Dokumentari Pelayaran Sang Maestro dedah sejarah Empayar Melayu

ABDUL AZIZ Abdul Rahman (lima dari kanan) bersama pengarah dan pelakon Dokumentari Pelayaran Sang Maestro di UMP Pekan di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Tayangan Khas Dokumentari Pelayaran Sang Maestro dan Sesi Dialog Cendekia sebagai usaha mendedahkan perjalanan sejarah empayar Melayu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, tayangan itu mempamerkan kehebatan orang Melayu terdahulu yang boleh mengembara seluruh dunia dan tamadun Melayu yang berasaskan pelayaran yang hebat.

Katanya, tayangan itu juga memaparkan permulaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang pesat, pusat pendidikan, ekonomi, penyebaran Islam dan kesenian Melayu.

“Ini termasuklah kehebatan terhadap maritim Melayu, persenjataan Melayu dan perkembangan Islam di Melaka sebelum berkembang ke negeri lain,” katanya yang hadir menyaksikan tayangan khas dokumentari anjuran Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) dan Pusat Sains Kemanusiaan UMP.

Abdul Aziz turut merakamkan ucapan tahniah kepada Felo Perunding Pusat Sains Kemanusiaan UMP, Roslan Madun atas perkongsian karya dan pengetahuan menerusi dokumentasi terbabit.

“Negara kita pernah menjadi tarikan seluruh dunia dengan kekayaan hasil bumi dan rempah ratus yang pada masa itu menjadi alternatif dalam masakan. Kita akan meluaskan lagi citra-citra seperti ini untuk meningkatkan pemahaman kita, identiti-identiti kekuatan bangsa kita,” katanya.

Roslan yang merupakan penyanyi lagu rakyat Pahang juga merupakan antara tiga panel jemputan bagi Sesi Dialog Cendekia selain Pelakon Zaidi Omar dan Pengarah ITKAS UMP, Prof. Madya Dr. Hasan Ahmad yang diadakan bersempena tayangan itu.

Turut menyaksikan tayangan terbabit Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Yusserie Zainuddin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli; Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang, Datuk Prof. Emeritus Dr. Mohamad Mansor Abdullah; dan Pengarah Perpustakaan negeri, Nor Zahira Azmi.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, kewujudan ITKAS di UMP bakal mengkaji pengaruh dan tamadun yang membentuk identiti khususnya di negeri Pahang dari segi pakaian, tenunan, makanan, tradisi, sejarah Sungai Pahang, ketokohan, batu bertulis dan lain-lain.

Roslan pula berkata, sejarah Melayu perlu dikaji dengan sebaiknya kerana ia merupakan kekuatan dan kehebatan bangsa Melayu yang hidup berlandaskan agama Islam.

“Malah sejak dahulu Melayu itu menguasai laut di sepanjang Selat Melaka Kerajaan Melayu menguasai perdagangan samudera yang membina tamadun bermula Srivijaya berkurun lampau sehingga kini di Kepulauan Melayu,” katanya.

Beliau juga mengakui dalam penghasilan dokumentari Pelayaran Sang Maestro ini, pihaknya perlu merujuk beberapa pakar sejarah agar matlamat untuk menyampaikan tamadun sejarah itu tercapai.

Hasan pula berkata, ITKAS akan memperbanyakkan lagi program tentang tamadun Melayu sebegini untuk memupuk minat generasi kini.

“Menjadi tanggungjawab pendidik untuk menyebarkan sejarah dengan pelbagai kaedah pendekatan. Malah penulisan sejarah amat penting kerana sejarawan ini akan menyelidiki rekod-rekod lalu bagi mengkaji sejarah dan peristiwa yang telah berlalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya