BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memetrai memorandum perjanjian (MoA) dengan Syarikat Bio Angle Vacs Sdn. Bhd (BAV) untuk mengkomersialkan vaksin STVAC7 bagi mencegah penyakit ‘pneumonia’ terhadap haiwan peliharaan seperti kambing dan biri-biri.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kerjasama penyelidikan di antara Fakulti Perubatan Veterinar (PFV) dengan BAV itu memberi fokus kepada “STVAC7 Clinical Study” bertujuan untuk mengembangkan kepakaran yang dimiliki kedua-dua belah pihak.
Menurutnya, pada masa sama ia merupakan inisiatif bersama bagi manfaat sinergi, perkongsian pengalaman, pengembangan pengetahuan dan kepakaran berhubung dengan projek penyelidikan bagi pembangunan sektor penternakan.
“Pelaksanaannya melibatkan dana oleh BAV berjumlah RM 510,000 dan tempoh penyelidikan adalah selama 19 bulan.
“Kolaborasi strategik di antara UMK dan BAV ini bakal menjadi titik permulaan untuk mempromosi dan mengkomersilkan perkhidmatan serta produk industri bioteknologi yang berinovasi,” katanya kepada pemberita pada majlis MoA di Bilik Seminar 2, UMK Bachok, di sini hari ini semalam.
Nik Maheran memberitahu, projek penyelidikan ini akan menjadi pengukur penting bagi menentukan kejayaan produk inovatif negara itu mendapat tempat sekaligus menembusi di pasaran antarabangsa.
Katanya, vaksin jenis semburan intranasal ini adalah produk inovatif pertama dihasilkan di dunia dan dicipta oleh profesor tempatan menerusi penggunaan teknologi rekombinan yang berbeza dengan vaksin import konvensional yang lain.
“Produk STVAC telah diuji dan terbukti berkesan memberi perlindungan kepada ruminan kecil seperti kambing dan bebiri daripada jangkitan bakteria penyebab penyakit ‘pneumonia’.
“Paten bagi vaksin STVAC telah dibeli dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan nilai RM4 juta dan dipindah milik secara eksklusif kepada BAV untuk dikomersilkan,” ujarnya.-UTUSAN