Tingkat imuniti badan, kekal patuhi SOP - Utusan Malaysia

Tingkat imuniti badan, kekal patuhi SOP

ORANG ramai disaran kembali mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berikutan kebimbangan peningkatan penularan virus pembunuh itu sejak kebelakangan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat perlu mengambil langkah meningkatkan imuniti badan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan dua varian Covid-19 utama yang menular di China dikesan berada di negara ini.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Boi Saidi Abd Razak berkata, langkah itu penting memandangkan varian baharu itu lebih berbahaya dan penularannya boleh berlaku dengan lebih pantas berbanding varian sebelumnya.

Katanya, pengambilan suplemen-suplemen multivitamin atau makan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran serta buah-buahan adalah salah satu langkah untuk mencegah daripada jangkitan virus tersebut.

“Varian ini sudah pasti lebih berbahaya berbanding dengan yang sebelumnya kerana ia akan memberi risiko baharu terutamanya kepada pesakit yang telah dijangkiti kerana badan masih tidak dapat mengenal pasti virus tersebut, jadi kesannya lebih serius dan memudaratkan.

BERJAGA-JAGA

“Saya sarankan supaya rakyat Malaysia kembali memakai pelitup muka di kawasan orang ramai, menghindari daripada melakukan apa-apa sentuhan dan bagi mereka yang sakit perlu melakukan pemeriksaan dan ujian RTK Antigen Covid-19 kendiri sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan dua varian Covid-19 utama yang menular di China iaitu varian BA.5.2 dan varian BF.7 dikesan telah berada di Malaysia.

Kata Noor Hisham, pengambilan vaksin penggalak juga amat disyorkan kepada orang ramai supaya ia dapat merangsang kembali sistem imuniti bagi mengenal pasti jangkitan virus baharu yang terdapat dalam badan.

Boi Saidi menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu mengambil langkah dengan membuat saringan ketat di lapangan terbang bagi pelancong-pelancong dan warga asing yang datang ke Malaysia.

“Nak sekat pelancong atau tutup pintu sempadan ini, saya rasa sudah terlambat dan tidak akan mendatangkan apa apa kesan kerana varian baharu ini, ia sudah ada berada di dalam kalangan kita, cuma sedar atau tidak sahaja memandangkan tidak ada simptom yang spesifik untuk mengenal pasti varian ini.

“Cuma, bagi saya simptom varian ini mungkin sama seperti dahulu iaitu demam dan sakit-sakit badan, jika ada terus lakukan pemeriksaan sebagai salah satu cara untuk membendung penularan wabak,” katanya.

Jelasnya bagi pengambilan vaksin baharu pula, akan diputuskan oleh pihak World Organization Malaysia (WHO) memandangkan mereka belum buat apa apa pengumuman tentang kemudaratan yang ketara oleh varien Covid BF.7 dan Ba5.2.

“Setakat ini, mengikut data daripada KKM tiada kematian ataupun kemudaratan yang dilaporkan tetapi sehingga 31 Disember ini seramai 4148 kes rakyat Malaysia terdeteksi dengan varien baru Covid BA.52 manakala seramai 3 rakyat malaysia telah dijangkiti oleh carian BF.7.

“Kalau ikut saranan saya, lebih baik vaksin ini kita keluarkan setiap varian yang baru dan berbeza setiap tahun, sama seperti apa yang dilakukan seperti varian influenza, dengan cara itu kita boleh lebih bersedia dan mengawal dengan lebih baik situasi jika terdapat varian baharu lagi yang muncul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya