Tidak dapat ke Krabi, 40 individu ditipu pekerja syarikat pelancongan - Utusan Malaysia

Tidak dapat ke Krabi, 40 individu ditipu pekerja syarikat pelancongan

SEBAHAGIAN daripada peserta rombongan ke Krabi, Thailand sudah menunggu bas di Seremban sebelum menyedari mereka ditipu pekerja sebuah syarikat pelancongan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hasrat sekumpulan 40 individu untuk bercuti ke Krabi, Thailand tidak kesampaian apabila ditipu pekerja sebuah agensi pelancongan dengan kerugian RM30,000.

Alasan diberikan pekerja tersebut kononnya bas yang sepatutnya membawa rombongan itu telah terlibat kemalangan.

Seorang seorang mangsa penipuan, Kartini Arshad, 58, berkata, peserta rombongan hanya dimaklumkan tentang perkara itu oleh seorang wanita yang juga pekerja syarikat pelancongan tersebut pada pukul 4 petang semalam iaitu dua jam sebelum waktu asal perjalanan bermula dari Seremban.

Kartini berkata, alasan digunakan tidak munasabah dan menyedari ditipu selepas wanita yang menguruskan percutian tersebut menghilangkan diri.

“Kami sepatutnya menaiki bas dari Seremban ke sempadan Thailand pada pukul 6 petang dan masing-masing telah tiba dan bersiap sedia kerana ada yang datang dari Melaka, Kuala Lumpur serta Batu Pahat, Johor.

“Bagaimanapun, kami diberitahu bahawa bas yang akan dinaiki di Krabi pada hari Jumaat (esok) terbabit kemalangan. Kami menunggu sehingga pukul 8 malam tetapi tiada bas yang datang dan pekerja syarikat pelancongan itu tidak lagi dapat dihubungi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Kartini, dia menguruskan 25 peserta rombongan itu dengan setiap peserta dikenakan bayaran RM900 untuk menyertai pakej percutian selama lima hari ke Krabi, Thailand.

Jelas Kartini, mereka membuat tempahan pakej itu pada Julai tahun lalu dan telah membuat bayaran sebanyak tiga kali dengan diuruskan oleh seorang wanita yang berurusan dengan pekerja syarikat pelancongan itu. 

“Bila sampai waktunya tidak sangka pula jadi macam ini. Saya pun jadi serba salah sebab saya yang uruskan 25 peserta yang terdiri daripada kawan-kawan dan keluarga. 

“Kami telah hubungi ketua pegawai eksekutif syarikat pelancongan itu, tapi malangnya dia beri alasan tidak bertanggungjawab kerana tidak menerima duit daripada pekerja yang menguruskan pakej pelancongan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Najihah Rosli, 25, berkata, dia tidak menyangka percubaan pertama kali bercuti menggunakan perkhidmatan syarikat pelancongan menjadi pengalaman pahit buatnya dan suami. 

“Saya dan suami dah mula ragu-ragu apabila diberitahu bas tidak dapat datang kerana terlibat kemalangan. Rasa terkilan juga kerana ini  kali pertama kami mahu pergi Krabi, nampaknya tidak kesampaian,” katanya yang datang dari Melaka.

Sehubungan itu, sebahagian daripada peserta rombongan telah membuat laporan polis semalam selepas berasa ditipu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya