KANGAR: Selepas dua tahun tiada undangan mengadakan tarian singa sempena Tahun Baharu Cina, tahun ini persembahan tradisi itu kembali ‘bernyawa’ selepas mendapat banyak permintaan.
Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan, kumpulan tarian singa dari Badan Kebajikan Penduduk-Penduduk Keturunan Cina dan Siam kawasan Pengkalan Asam dan Behor Temak itu sudah menerima lebih 30 tempahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ketua kumpulan tarian singa itu, Ng Ching Loon, 28, berkata, sepanjang dua tahun lalu, mereka tidak menerima undangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.
Namun, menurut beliau, tahun ini, undangan persembahan kembali banyak dan sehingga kini sudah ada 20 tempahan dan jumlah tersebut boleh meningkat kepada 30 menjelang hari sambutan Tahun Baharu Cina.
Katanya, tempahan tersebut datang daripada pihak swasta, sekolah, kedai-kedai, rumah-rumah dan pelbagai pihak lagi.
Menurut Ching Loon, sekali persembahan mereka menerima antara RM388 sehingga RM800 untuk 30 minit pertunjukan tarian singa berkenaan.
“Tahun ini kita tidak menang tangan menerima tempahan selepas dua tahun sunyi sepi tanpa undangan. Ekoran itu, kami terus giat menjalani latihan tiga kali seminggu.
“Kumpulan kami mempunyai 13 ahli yang berumur 16 sehingga 30 tahun. Tarian singa ini sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina dan merupakan budaya masyarakat tersebut selain kepercayaan ia membawa tuah,” katanya.
Kata Ching Loon, kumpulan tersebut mengadakan persembahan di sekitar negeri ini termasuk menerima jemputan pertunjukan dari rumah ke rumah.- UTUSAN