JOHOR BAHRU: Polis menjangkakan kesesakan luar biasa menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di kedua-dua laluan masuk sempadan Johor-Singapura, iaitu di Lebuhraya LinKedua, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah dan Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bilangan kenderaan memasuki negeri ini dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa, iaitu kira-kira 100,000 kenderaan berulang-alik.
Justeru, pihaknya bersiap sedia dengan menambah bilangan anggota di kedua-dua pintu masuk itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik pada waktu puncak bermula Jumaat ini.
“Kita menjangkakan kesesakan aliran trafik yang luar biasa, meningkat antara dua hingga tiga kali ganda berbanding pergerakan harian kira-kira 100,000 kenderaan lalu lalang di kedua-dua pintu masuk ini,” katanya selepas menyertai Walkabout Kempen Rumah Selamat Sempena Tahun Baharu Cina dan Op Selamat di pusat beli-belah MidValley Southkey, di sini hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar.
Kamarul Zaman berkata, semua kaunter termasuk laluan pejalan kaki dibuka dengan menempatkan maksimum 250 pegawai dan anggota polis yang akan melancarkan trafik di kedua-dua pintu masuk.
“Bagi memastikan keanggotaan mencukupi bagi tempoh musim perayaan ini, kita hanya meluluskan permohonan 10 peratus pegawai dan anggota polis yang akan bercuti pada Tahun Baharu Cina ini.
“Selain memberi tumpuan terhadap Op Selamat dan Kempen Rumah Selamat, polis juga membuat rondaan di premis perniagaan dan kawasan perumahan,” katanya.
Katanya, Kempen Rumah Selamat pada tahun lalu menyaksikan tidak berlaku sebarang kejadian kes pecah rumah direkodkan. – UTUSAN