KUALA LUMPUR: Tiga sahabat dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak seorang wanita secara berkumpulan dengan menyamar sebagai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketiga-tiganya termasuk dua beradik mengakui fakta kes bahawa mereka mengacukan parang ke leher wanita itu, menutup mata dengan tuala, menyumbat mulutnya dengan kain batik serta mengikat tangan dan kakinya lalu merompak barang-barang berharga milik mangsa.
Tertuduh-tertuduh Muhammad Hafiz Mohd. Endo, 23; (jiran mangsa) serta Mohamad Ikram Sudirman Shah, 27; dan adiknya Muhammad Amirul Hafiz, 23.
Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa berusia 27 tahun dengan bersenjatakan parang kira-kira pukul 9.30 pagi, 23 November 2022 di sebuah unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong Setia, Jalan Silang di sini.
Barang-barang dirompak termasuk lima telefon bimbit, Ipad mini, komputer riba, konsol permainan PS4, enam jam tangan termasuk jenama Apple dan gelang tangan emas.
Kejadian berlaku sewaktu ketiga-tiga anak mangsa berada di rumah.
Fakta kes menyatakan, pintu rumah mangsa diketuk pada hari kejadian manakala salah seorangnya berpakaian penguat kuasa DBKL menyatakan mereka mahu membuat bancian dan memeriksa kerosakan dalam rumah.
Akibat percayakan mereka, wanita itu membenarkan ketiga-tiganya memasuki rumah sebelum pintu ditutup dan dua daripadanya mengacukan sebilah parang ke leher mangsa dan diarah duduk di sofa sambil menutup matanya menggunakan tuala.
Mereka kemudian menyelongkar barang-barang berharga yang ditunjukkan wanita itu sebelum membawanya ke sebuah bilik dan menyumbat mulutnya dengan kain batik serta mengikat tangan dan kakinya.
Selepas mereka keluar, pengadu membuka ikatan kaki dan tangan serta meminta pertolongan jiran.
Peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili Muhammad Hafiz (tertuduh pertama) merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan
penghantar makanan Grab itu menyara ibu bapa dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Peguam bela berhujah, tertuduh hanya berniat merompak dan tiada niat mendatangkan kecederaan atau melakukan perbuatan seksual terhadap mangsa.
“Mangsa tidak mengalami kecederaan walaupun tangannya diikat dan mulut disumbat kain batik manakala anak-anaknya juga tidak diapa-apakan,” ujarnya.
Sementara itu, kedua-dua beradik tersebut yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana mempunyai ramai tanggungan termasuk tiga adik yang masih bersekolah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah mempertimbang kepentingan awam bahawa ketiga-tiganya menyamar sebagai penguat kuasa DBKL dan menyamun mangsa.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.-UTUSAN