Rezeki larut malam Shahidin si tukang kasut

Rezeki larut malam Shahidin si tukang kasut

SHAHIDIN Ramli, 55, merupakan satu-satunya tukang kasut di negeri ini yang beroperasi pada waktu malam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Melalui Jalan Rani Estate di sini, kelihatan seorang warga emas dalam sebuah ‘kedai’ kecil yang masih giat mencari rezeki pada sebelah malam sehingga awal pagi membaiki kasut para pelanggannya.

Ketika orang lain sedang nyenyak tidur, Shahidin Ramli, 55, merupakan satu-satunya tukang kasut di negeri ini yang beroperasi pada waktu malam dan terus berusaha mencari pendapatan setiap hari bagi menyara kehidupan dia bersama ibunya.

Shahidin yang masih belum berkahwin menjadi tukang kasut sejak lebih 20 tahun lalu dan yang menariknya, dia mula bekerja dari pukul 10 malam sehingga 6 pagi dengan memperoleh pendapatan sekitar RM50 sehingga RM60 dalam tempoh semalaman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shahidin berkata, meskipun, beroperasi pada waktu malam, namun, pelanggan tetap ada khususnya dalam kalangan pelajar di universiti berhampiran yang membaiki kasut futsal.

Katanya yang berasal dari Bukit Keteri, dia sengaja mencipta kelainan sejak dari awal pembabitannya sebagai tukang kasut 20 tahun lalu sehingga kini dengan beroperasi pada sebelah malam sehingga awal pagi.

Ujarnya, sebelum ini, dia membaiki kasut di Bukit Keteri dan sejak 2015, dia memilih berpindah tempat di Jalan Rani Estate di sini.

“Pendapatan yang diperoleh cukuplah untuk menyara kehidupan saya dan ibu. Dari dahulu saya tinggal dan menjaga ibu yang sudah berusia 76 tahun.

“Membaiki atau menjahit kasut pada waktu malam ini lebih selesa dan pelanggan tetapnya sentiasa ada kerana tahu saya beroperasi dari malam sehingga kira-kira pukul 6 pagi.

“Mereka yang ingin membaiki kasut khususnya di kawasan Arau ini tahu saya beroperasi pada waktu malam dan kalau keadaan mendesak untuk membaiki kasut, mereka (pelanggan) boleh datang ke sini,” katanya.

Tambah Shahidin, sejak kebelakangan ini pendapatannya sebagai tukang kasut kadang-kala tidak menentu dan pernah pulang dengan tangan kosong.

“Bagaimanapun, saya terus kekal dengan kerja yang sudah sebati dengan hidup saya ini. Orang ramai yang ingin membaiki kasut bolehlah datang di pondok kasut saya ini,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya