KOTA TINGGI: Kegembiraan dua sahabat mandi-manda di Pantai Batu Layar, dekat sini bertukar tragedi apabila seorang lemas, manakala seorang lagi masih hilang.
Mayat Mohamad Imran Mohamad Nazir, 17, sudah ditemukan orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR), manakala rakannya, Hani Suefyan Hanizam, 16, masih belum ditemukan.
Seramai 29 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Punggai, Bandar Penawar, Sebana Cove dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Skudai dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.26 petang tadi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Khairul Sufian Dahari berkata, turut terlibat dalam operasi SAR daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kementerian Kesihatan.
“Kejadian lemas melibatkan dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun dengan seorang mangsa telah berjaya ditemukan oleh pengunjung di pantai dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Susulan itu tindakan operasi bagi mencari seorang lagi mangsa menggunakan kaedah ‘surface searching’ dalam radius 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
“Difahamkan dua mangsa berkenaan merupakan sahabat, mereka datang dari Kluang menaiki motosikal berkonvoi untuk beriadah di pantai tersebut sempena cuti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan kejadian itu dan operasi SAR akan terus dilakukan.
“Kita menyeru kepada para pengunjung supaya berhati-hati, tidak berada di kawasan air khususnya musim Monsun Timur Laut sekarang.
“Keadaan laut sekarang tidak mengizinkan untuk orang ramai mandi-manda bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, ” katanya. – UTUSAN