Proton Iswara jadi penyelamat, 30 kali ulang-alik pindah barang - Utusan Malaysia

Proton Iswara jadi penyelamat, 30 kali ulang-alik pindah barang

MAD NOR ASMI memunggah barangan termasuk peti sejuk menggunakan kereta Proton Iswara Aeroback dari PPS ke rumahnya di Kampung Chodan, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang mangsa banjir terpaksa berulang-alik lebih 30 kali menaiki kereta Proton Iswara membawa barangan keperluan serta ahli keluarganya ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Chodan, di sini baru-baru ini.

Mad. Nor Asmi, 37,  terpaksa meredah banjir bagi menyelamatkan pelbagai barang rumah supaya tidak ditenggelami banjir yang sudah mula memasuki rumahnya sehingga paras lutut.

“Saya tiada pilihan selain menggunakan kereta Proton Iswara Aeroback merah saya ini sahaja sebagai pengangkutan ulang-alik.

“Paras air sudah mula meningkat mendadak dan saya perlu segera mengalihkan barang-barang di rumah ke tempat selamat. Saya dibantu isteri mengangkut pakaian, peti sejuk, perabot, dokumen penting, kuali, tikar dan pinggan mangkuk.

“Kami perlu melakukannya dengan cepat kerana air juga mula meningkat dengan pantas selagi kereta ini masih boleh lalui kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui sedang memunggah barangan untuk pulang semula ke kediamannya, semalam.

Isterinya, Rosimah Yahya, 40, selain menyelamatkan barang rumah, dia turut membawa kipas untuk keselesaan mereka sekeluarga di PPS.

“Ini kerana keadaan PPS yang agak ramai penghuni menjadikan keadaan agak berbahang dan kami biasanya berada di PPS dalam tempoh agak lama sehingga air benar-benar surut,” katanya.

Mereka terpaksa meredah banjir sedalam 0.6 meter hampir satu kilometer untuk memunggah keluar barang dari dalam rumah ke keretanya dan pada awalnya tidak mahu berpindah ke PPS, namun akur kerana keadaan air yang semakin dalam dan mengancam nyawa.

“Saya kelam-kabut mengemas barang kerana risau kereta tidak lagi dapat melalui kawasan rumah kerana air naik dengan cepat. Saya juga terpaksa berjalan kaki jika masih ada saki baki barangan penting yang tidak diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya