PRN serentak dapat cetus impak, ramai akan keluar mengundi - Aminuddin - Utusan Malaysia

PRN serentak dapat cetus impak, ramai akan keluar mengundi – Aminuddin

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) menulis kaligrafi pada Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelaksanaan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri perlu diadakan secara serentak supaya dapat memberi impak lebih besar sama seperti pelaksanaan pilihan raya umum yang lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, menerusinya rakyat yang masih belum mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, dapat melihat bahawa PRN akan datang juga merupakan hari penting buat mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

“Apabila kesemua enam negeri mengadakan pilihan raya ini secara bersama, ia akan beri impak, rakyat yang belum mengundi di peringkat DUN boleh turun beramai-ramai, akan menjadi hari yang penting juga buat semua sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lepas.

“Mungkin kita boleh umum cuti peristiwa bagi memastikan pilihan raya ini apabila dilaksanakan, ramai yang akan keluar mengundi dan kita raikan demokrasi,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan hari ini.

Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas akan mengadakan pertemuan secara tidak rasmi dengan tiga pemimpin negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bagi membincangkan mengenai PRN pada minggu depan.

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan itu nanti berkaitan persetujuan membubarkan DUN bersama supaya PRN dapat diadakan serentak di enam negeri.

Menurutnya, langkah mengadakan PRN secara serentak itu bertujuan memudahkan rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan pilihan raya tersebut.

Enam buah negeri yang masih belum menjalankan membubarkan DUN masing-masing ialah Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta tiga buah negeri yang ditadbir Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya