SHAH ALAM: Nangka berpotensi untuk dieksport ke negara luar berdasarkan kandungan proteinnya yang dipercayai dapat menggantikan atau menjadi alternatif kepada daging.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, penggunaan nangka sebagai alternatif bukan perkara baharu, malah sudah pun diamalkan oleh sebilangan individu bukan pemakan daging (vegetarian) apabila mengambil buah tersebut sebagai ganti.
“Kadang-kadang ada pengguna tidak mahu makan daging (vegetarian) dan menjadikan buah nangka sebagai makanan untuk menggantikan daging.
“Malah terdapat pati daging yang diperbuat daripada nangka. Jadi, kita akan cuba perluaskan pengeksportannya ke luar negara,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis projek kerjasama Musang King antara SIRIM dengan DSR Taiko, hari ini.
Justeru, beliau menyasarkan untuk menembusi pasaran di Amerika Syarikat apbila produk tersebut sudah pun berada di negara-negara Eropah sejak beberapa tahun lalu.
“Kita sudah kenal pasti sebuah ladang nangka yang berkeluasan 161 hektar di Rawang, Selangor sebagai penyumbang eksport nangka negara ini ke luar negara.
“Kepada mana-mana syarikat dan peladang buah tersebut yang ingin mendapatkan khidmat nasihat daripada SIRIM, kami amat mengalu-alukan supaya nilai eksport negara terus bertambah,” ujarnya. – UTUSAN