KOTA TINGGI: Sebanyak 431 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan polis daerah ini dalam tempoh tiga hari Op Selamat ke-19 sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan menerusi operasi tersebut yang dijalankan di Kilometer 3, Jalan Kota Tinggi – Kluang melibatkan memotong barisan, lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Polis Kota Tinggi tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan sepanjang operasi tersebut.
“Penguatkuasaan ini dijalankan bagi mengambil tindakan di samping memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya bahawa sikap pentingkan diri dengan mengabaikan peraturan lalu lintas boleh mengundang padah dan mengakibatkan berlakunya kemalangan, sekali gus menjejaskan aliran trafik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi kali ini turut memberi fokus terhadap lima kesalahan utama, iaitu tidak mematuhi lsyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan.
“Fokus operasi adalah bagi melancarkan lalu lintas dengan meminimumkan kes kemalangan dan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah.
“Kerjasama daripada orang ramai sepanjang operasi ini akan memastikan keselesaan kepada pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya. – UTUSAN