PN kecewa UMNO anggap DAP lebih setia berbanding Pas

PN kecewa UMNO anggap DAP lebih setia berbanding Pas

HAMZAH Zainudin (kiri) berbincang sesuatu bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (tengah) dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir PN Sentiasa Bersamamu di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Perikatan Nasional (PN) kecewa apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan Dap adalah lebih ‘setia’ berbanding Pas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kenyataan itu dipetik daripada ucapan Mohamad sendiri pada Persidangan Agung UMNO (PAU) semalam.

“Secara jujur saya ceritakan, sehari selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu pada hari Ahad, beliau berada di rumah saya dan ketika itu apa yang disampaikan kepada saya berbeza.

“Dia maklumkan sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu bekerjasama dengan Dap dia orang pertama akan menentang,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir PN Sentiasa Bersamamu di Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Ketua Pembangkang itu memberitahu, perkara tersebut turut disaksikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut bersama dalam perjumpaan berkenaan.

Katanya, kerana itu beliau berasa hairan dan kecewa kerana PN serta Pas masih menganggap UMNO sebagai kawan.

“Kami dari PN tidak pernah pun hendak mengata sesiapa tetapi mereka (UMNO) sejak akhir-akhir ini…dulu cakap lain, sekarang cakap lain.

“Itulah yang saya nak maklumkan kepada rakyat. Berhati-hatilah dengan orang-orang seperti ini,” ujarnya.

Media semalam melaporkan, Ahli Parlimen Rembau semasa berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berkata bekerjasama dengan Dap pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

Sebaliknya, UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana mendakwa parti itu tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan UMNO.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya