JEMPOL: Tiga lelaki termasuk seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap seorang peniaga minggu lalu.
Ketiga-tiga tertuduh Mohamad Fairul Mohd Alwi, 23, Mohamad Emran Faiz Yahya, 28 dan seorang remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki berusia 24 tahun iaitu kecederaan akan berlaku ke atas dirinya.
Demikian itu tertuduh dengan curang mendorong lelaki tersebut untuk menyerahkan harta benda iaitu wang sebanyak RM14,000.
Perbuatan itu dilakukan sebuah rumah di Felda Serting Hilir 5, di sini pada pukul 1 pagi, 23 Januari lalu.
Oleh yang demikian, ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Majistret kemudian membenarkan Mohamad Fairul dan Mohamad Emran diikat jamin RM11,000 setiap seorang manakala seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun diikat jamin sebanyak RM4,000, masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan pada 3 Mac depan bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Bahau.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan mencederakan peniaga sama di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga dipukul dengan batang cangkul, penyapu dan getah paip selepas didakwa melakukan hubungan sulit dengan seorang wanita yang juga isteri orang.
Antara enam suspek yang ditangkap termasuklah suami wanita terbabit. Selain dipukul, wang milik peniaga berkenaan di dalam akaun turut dikebas.-UTUSAN.