Penjawat awam Negeri Sembilan perlu hormati Perlembagaan Persekutuan, negeri - Utusan Malaysia

Penjawat awam Negeri Sembilan perlu hormati Perlembagaan Persekutuan, negeri

AMINUDDIN Harun (depan) bersama penjawat awam Negeri Sembilan melafazkan ikrar Rukun Negara pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2023 di Dewan Theatrette, Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penjawat awam di Negeri Sembilan diminta untuk sentiasa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 selain perlu memiliki semangat patriotisme tulen. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sentiasa komited mempertahankan kedua-dua undang-undang berkenaan yang turut telah membentuk persefahaman erat antara gabungan parti politik utama ketika ini seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

Jelas beliau, kerajaan yang kukuh dan stabil tersebut tentunya menjamin semua hak istimewa yang ada termasuk hak penjawat awam.

“Bagaimanapun, reformasi institusi pentadbiran perlu ada demi tata kelola baik dalam pemerintahan. Saya yakin tadbir urus yang efisien dan bersifat wasatiah mampu menghalang gejala rasuah serta penyelewengan terus berleluasa.

“Penjawat awam di  negeri ini seharusnya menghormati Perlembagaan  Persekutuan dan undang-undang serta memiliki  semangat patriotisme tulen. Semua pihak perlu mengamalkan prinsip Rukun Negara yang dilafaz agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan mencetuskan suasana tidak tenteram, terutama membabitkan hubungan antara kaum di negeri ini,” katanya.

Aminuddin berkata demikian sewaktu berucap sempena Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2023 di Dewan Theatrette, Wisma Negeri di sini hari ini.

Jelas Menteri Besar, gesaan beliau itu merupakan salah satu daripada empat strategi yang perlu dipegang oleh penjawat awam di negeri ini bagi menghadapi cabaran tahun 2023.

Tiga strategi lain yang digariskan adalah membantu menangani isu kos sara hidup rakyat, memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.

Sementara itu, menurut Aminuddin, menghadapi kenaikan harga barangan dan bekalan makanan yang tidak mencukupi, kerajaan negeri telah mencari pelbagai kaedah terbaik untuk dicapai supaya rakyat tidak terlalu terbeban.

“Ia menerusi pelbagai program pemerkasaan ekonomi rakyat yang telah berjaya dilaksanakan termasuklah pembangunan tanah-tanah terbiar, bantuan modal perniagaan, bantuan peralatan tangkapan ikan kepada nelayan pantai dan pemberian elaun sara hidup bulanan kepada pelajar-pelajar universiti.

“Isu kekurangan bekalan telah cuba ditangani melalui Jualan Harga Ladang Negeri Sembilan Prihatin. Secara tidak langsung, rakyat di  negeri ini dapat membeli barangan keperluan dengan harga 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” kata beliau.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN