KOTA BHARU: Seorang peniaga kuih tidak dapat menahan sebak apabila menerima sebuah rumah baharu daripada kerajaan negeri selepas kediaman asalnya yang berusia 70 tahun di Kampung Pak Kemek, Panji, di sini hampir runtuh.
Nor Mahizatul Akmal Abdul Rahim, 46, berkata, pendapatan menjual kuih sebanyak RM50 sehari tidak cukup untuk dia membaik pulih kediaman sedia.
Menurutnya, menyulitkan lagi keadaan apabila suami tidak dapat bekerja untuk mencari rezeki selepas berdepan dengan masalah kesihatan.
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan ini (rumah) dan ia boleh terus diduduki apabila semuanya siap.
“Rumah sebelum ini sudah uzur dan menunggu masa untuk runtuh apabila sudah di makan oleh anai-anai selain tidak mempunyai ruang dapur,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunci Rumah Dhuafa’ yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah semalam.
Nor Mahizatul Akmal memberitahu, selain menjual kuih pendapatan keluarga turut bergantung kepada upah menjaga anak jiran.
Katanya, pendapatan tersebut hanya cukup untuk menyara dia dan suami serta anak tungalnya.-UTUSAN