PORT DICKSON: Seramai 10 orang peniaga di pusat penjaja bergerak, Pantai Saujana Batu 4, di sini bagaikan hilang arah selepas lesen penjaja mereka dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Salah seorang daripada mereka, Mohd. Hafiz Shuid berkata, kesemua peniaga telah berniaga di tapak tersebut lebih dari 10 tahun sehingga kawasan itu menjadi antara lokasi tarikan pelancong.
Menurut Hafiz, bagaimanapun lesen penjaja bergerak yang diberikan kepada mereka oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) terbatal serta-merta pada 26 Januari lalu melalui surat tanpa dimaklumkan sebab sebenar.
“Apa yang kami kesalkan tiada isu berbangkit malah tapak perniagaan itu dinaik taraf pada 2016 menggunakan wang yang dikumpulkan oleh semua peniaga sebanyak RM20,000 sebelum diambil semula oleh pihak MPPD.
“Kami hanya ingin berniaga dan mencari rezeki halal di sini, apabila lesen dibatalkan kami tidak tahu ke mana arah kami selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Turut hadir, aktivis sosial yang juga Pengerusi Koperasi Kipidap Malaysia Berhad (KKMB), Abdul Rani Kulup Abdullah.
Mohd. Hafiz berkata, mereka yang mempunyai lesen penjaja bergerak itu menjalankan perniagaan menggunakan ‘food truck’ dan bas bergerak yang diubah suai.
Jelas beliau, dalam mesyuarat dan perbincangan yang diadakan dengan MPPD pada 16 Januari lalu, PBT tersebut bersetuju memberikan lesen dengan syarat mematuhi beberapa peraturan yang mana semuanya telah bersetuju, namun surat pembatalan serta-merta telah dikeluarkan.
“Kami diarahkan untuk membuat permohonan semula yang mana ia tidak adil kerana difahamkan pemilihan akan dibuat bersama dengan pemohon baharu, sedangkan kami sudah lama berniaga di tempat ini,” katanya yang merayu agar pembatalan lesen itu dipertimbangkan.
Sementara itu, Abdul Rani yang mewakili suara peniaga terbabit berkata, satu memorandum yang ditandatangi oleh kesemua 10 peniaga akan dihantar kepada Yang Dipertua MPPD, Mohd. Zamri Mohd. Esa untuk pertimbangan dan rayuan.
“Kita berharap isu ini dapat diselesaikan secara baik kerana peniaga disini hanya ingin mencari rezeki dan meneruskan kehidupan masing-masing selepas bergelut dengan masalah kewangan sejak pendemik Covid-19,” katanya.-UTUSAN.