Pengedar dadah cuba lolos diri, polis lepas dua das tembakan - Utusan Malaysia

Pengedar dadah cuba lolos diri, polis lepas dua das tembakan

WAN MOHD. ZAHARI WAN BUSU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang bertindak meloloskan diri ketika pemeriksaan berhampiran Tol Kuantan di sini awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, berlaku pergelutan antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Yaris itu bertindak mengundurkan kenderaan ketika pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, suspek turut bertindak mengundurkan kenderaan sebelum melanggar kenderaan pasukan jenis Pajero yang berada di belakangnya.

“Akibat ingin terus melarikan diri suspek yang juga pemandu kenderaan bertindak memecut kenderaannya menghala ke arah anggota polis yang berada di tepi jalan berhadapannya.

“Susulan itu, polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kiri dan suspek terus memandu menghala ke arah Jalan Sungai Lembing di sini dengan menggunakan laluan bertentangan.

“Kenderaan dipandu suspek terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan berlaku pergelutan berikutan suspek cuba melawan sehingga berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, hasil siasatan awal, suspek berusia 39 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes narkotik.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan digunakan suspek, polis menemukan beg kertas berisi sampul surat dan dua paket lutsinar mengandungi dadah jenis Syabu seberat 101.64 gram yang dianggarkan bernilai RM5,600.

“Kes tersebut masih dalam siasatan lanjut dan suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya