CAMERON HIGHLANDS: Seorang pendaki wanita yang mengalami kecederaan di kaki diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika menyertai aktiviti Jungle Trail 10, di Gunung Jasar di sini hari ini.
Ketua Zon 3 JBPM negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, pendaki wanita itu cedera di kaki ketika mendaki Gunung Jasar bersama dengan empat orang lagi rakannya.
“Balai Bomba Cameron Highlands menerima maklumat pada pukul 4.40 petang hari ini tentang seorang pendaki cedera di kaki dan meminta bantuan kecemasan dibawa turun.
“Seramai tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera yang diketuai oleh Pegawai Operasi, Sharil Safri bergegas ke lokasi dan berjaya membawa turun wanita tersebut, manakala empat rakannya, iaitu tiga orang lagi wanita dan seorang lelaki tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Menurut Shahrul Nizam, ketika penugasan membawa turun mangsa yang cedera, anggota bomba menggunakan peralatan pengusung dan menggendong mangsa.
“Mangsa dihantar ke Hospital Tanah Rata di sini untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Ujarnya, penggiat aktiviti lasak dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika mendaki gunung khususnya keadaan cuaca yang tidak menentu. – UTUSAN