Pekerja kontrak maut motosikal bergesel, terbabas - Utusan Malaysia

Pekerja kontrak maut motosikal bergesel, terbabas

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa dalam kemalangan maut melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 26.8 Lebuh Raya Seremban - Port Dickson arah Seremban awal pagi tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pekerja kontrak perpaipan maut apabila motosikal dinaikinya bergesel dan terbabas dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Kilometer 26.8 Lebuh Raya Seremban – Port Dickson arah Seremban di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi itu, mangsa, Muhamad Syazwan Shaari, 20, berasal dari Port Dickson yang menunggang motosikal Yamaha Y15 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki Muhammad  Syazwan dan sebuah lagi motosikal Y15 bergerak secara berkumpulan telah terjatuh sebelum terbabas dipercayai bergesel sesama sendiri. 

“Akibat kemalangan itu, Muhammad Syazwan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Mohammad Haikal Sapian, 20, bekerja sebagai pembantu kedai yang menunggang motosikal Yamaha Y15 mengalami luka ringan di bahagian muka dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa bergerak secara berkumpulan dari arah Port Dickson menghala ke Seremban.

“Sewaktu kemalangan, permukaan jalan lurus dua lorong itu adalah rata dan kering serta jalan gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan,” katanya.

Menurut Aidi Sham, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera kini dirawat di hospital sama.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya