KOTA BHARU: Pas menyeru pemimpin-pemimpin negara Islam bersatu bagi membentuk kekuatan dalam usaha menghapuskan fahaman Islamophobia yang boleh mencemarkan imej agama.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, negara-negara Islam akan terus dilihat lemah sekiranya terus berpecah dan bersikap ego dengan ideologi negara masing-masing.
“Negara Islam sepatutnya menguatkan ikatan antara mereka. Pecahkan tembok kenegaraan dan ketaksuban melampau yang jelas di luar daripada kehendak agama.
“Negara-negara Islam kena bersatu agar lebih disegani dan digeruni di mata dunia. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti diperkuatkan dan jangan hanya jadi ‘oh, I see’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perhimpunan aman bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam dan membakar Al-Quran oleh ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan Rasmus Paludan di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Ahmad Marzuk menegaskan, negara-negara Islam perlu membentuk kesatuan seperti Kesatuan Eropah (EU) sehingga mampu membina kekuatan gabungan ketenteraan antara negara-negara barat.
“Kalau EU boleh buat, kenapa pula negara-negara Islam tidak boleh membina kekuatan sebegitu? Kita perlu wujudkan kerjasama antara negara Islam dalam semua aspek termasuk ekonomi dan ketenteraan agar dapat tampil lebih kuat, kaya dan hebat.
“Negara-negara Islam perlu tampil lebih gah di mata dunia agar tidak boleh digugat oleh negara-negara barat sekaligus berupaya menghapuskan Islamophobia,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, pada masa sama semua pemimpin serta ahli politik di negara ini perlu bekerjasama menghapuskan Islamophobia dan tidak lagi memainkan sentimen yang boleh mewujudkan ketakutan masyarakat bukan Islam terhadap agama.
“Islam mengajar penganutnya agar tidak menghina agama lain. Kita hidup dalam rukun dan damai bersama masyarakat bukan Islam. Islam adalah agama yang lunak dalam menyantuni semua bangsa.
“Saya harap rakyat di Malaysia dapat mengelakkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti setiap kaum termasuk penghinaan dan cacian terhadap perkara-perkara berkaitan agama,” katanya-UTUSAN