LIPIS: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia setelah bertembung dengan kenderaan jenis pacuan empat roda dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5, Jalan Lipis – Merapoh di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.40 pagi, mangsa, Azman Zakaria, 43, seorang mekanik beralamat di Kampung Berhamah, Merapoh di sini meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Lipis akibat kecederaan parah dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang guru, Azam Azuar Rusdi, 49, dari Tanah Merah Kelantan ke Kuala lumpur.
“Setiba di tempat kejadian, pacuan empat roda terbabit dipercayai pecah tayar belakang kanan dan tayar depan kiri menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan masuk ke jalan bertentangan lalu melanggar dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.
“Pelanggaran itu berlaku di bahagian hadapan sebelah kiri pacuan empat roda dan kemudiannya berpusing. Motosikal mangsa terbabas ke kanan jalan menyebabkan penunggangnya melambung dan jatuh ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut, manakala pemandu Mitsubishi Triton mengalami kecederaan ringan.
Katanya, polis menerima makluman dari pihak Hospital Lipis pada pukul 1 tengah hari ini bahawa penunggang motosikal meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
“Bedah siasat akan dilakukan selepas hasil ujian Covid-19 diperoleh untuk mengetahui punca kematian mangsa, manakala kes kemalangan ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Selanjutnya, Azli menjelaskan motosikal mangsa remuk di bahagian hadapan dan terbakar, manakala Mitsubishi Triton pecah di bahagian bumper dan bonet, fender hadapan kiri kemek dan lampu depan kiri pecah.
Ujarnya, kemalangan itu berlaku di jalan selekoh, satu lorong dua hala, terdapat garisan putih berkembar dan permukaan jalan basah selepas hujan. – UTUSAN