PASIR MAS: Supritendan Nik Aminuddin Raja Abdullah dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas berkuatkuasa bulan depan.
Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas akan menggalas tanggungjawab tersebut Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir dilantik sebagai pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.
Muhamad Zaki berkata, pihaknya kehilangan seorang pegawai yang banyak membantu kecemerlangan pasukan polis negeri ini.
“Saya gembira dan bangga apabila Mohd. Nasaruddin terpilih menjadi orang kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri.
“Lebih setahun beliau bertugas sebagai Ketua Polis Daerah, banyak sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan kepada penduduk dan pasukan,” katanya.-UTUSAN