Nekad terjun tasik selamatkan mangsa kemalangan - Utusan Malaysia

Nekad terjun tasik selamatkan mangsa kemalangan

KERETA dipandu seorang lelaki yang terjunam ke dalam Tasik Merdeka di Jalan Parit Bilal Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang lelaki nekad terjun selepas melihat sebuah kereta terjunam ke dalam Tasik Merdeka di Jalan Parit Bilal, dekat sini tengah hari tadi untuk menyelamatkan mangsa. 

Tindakan berani itu dilakukannya semata-mata untuk menyelamatkan mangsa selepas melihat tiada sesiapa datang membantu. 

Suzaini Mohd. Sadali, 43, terus terjun selepas melihat pemandu kereta berkenaan hampir lemas dan tenggelam ke dalam tasik. 

Dia terus menarik lelaki berkenaan ke tepi tebing sebelum dibantu oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu. 

“Dua lagi mangsa perempuan yang sudah keluar dari kereta yang terjunam itu saya arahkan supaya duduk diam di atas kereta sebelum tindakan bantuan susulan dilakukan. 

“Dengan menggunakan kayu, saya mengarahkan mereka berpaut satu persatu sebelum berjaya dibawa naik ke tebing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ketika kejadian Suzaini dan anak lelakinya yang berusia 12 tahun dalam perjalanan pulang dari hospital ke rumah mereka di Parit Bayu Emas. 

Dia bersyukur kerana ketika menyelamatkan mangsa lelaki itu dia turut hampir kehabisan tenaga, namun berjaya menggagahkan diri membawa mangsa ke tebing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima panggilan kecemasan daripada orang awam tentang kejadian itu pada pukul 1.30 tengah hari.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki dan dua rakan wanitanya berusia 25 hingga 28 tahun dalam perjalanan dari arah Tongkang Pechah menghala ke arah Batu Pahat. 

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas dan terus terjunam ke dalam tasik di sebelah kanan jalan. 

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya