Negeri Sembilan cadang wujud permit khas pengusaha tapak perkhemahan - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan cadang wujud permit khas pengusaha tapak perkhemahan

TEO Kok Seong (kanan) ketika mengadakan pertemuan bersama pengusaha tapak perkhemahan di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bercadang mewujudkan satu permit khas berkaitan keselamatan kepada pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, permit khas itu bagi memastikan tahap keselamatan di tapak perkhemahan bagi menjalankan aktiviti rekreasi.

“Mengambil iktibar insiden tanah runtuh di Batang Kali pada tahun lalu, kerajaan negeri kini sedang mencari jalan untuk mewujudkan garis panduan kepada pengusaha tapak perkhemahan.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan mengkaji untuk mewujudkan permit khas untuk kategori pengusaha tapak perkhemahan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan hari ini.

Seramai 15 orang pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini terlibat dalam pertemuan selama sejam bersama pihak PBT.

Kok Seong dalam pada itu berkata, pihaknya akan membawa cadangan berkenaan ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri seterusnya dibawa ke Mesyuarat Perancangan Negeri. 

“Kami mahu membantu pengusaha tapak perkhemahan meneruskan perniagaan mereka dengan mengambil kira aspek keselamatan.

“Setakat ini, lokasi tapak perkhemahan di negeri berada pada tahap keselamatan yang terbaik. Tiada sebarang isu berkaitan risiko cerun tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan mereka,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya