SABAK BERNAM: Seorang murid lelaki terpaksa menanggung kesakitan selama 15 minit apabila kepalanya tersepit pada kerusi di sebuah tadbika di sekitar di Sekinchan di sini, hari ini.
Kejadian pukul 11.37 pagi itu melibatkan mangsa berusia enam tahun ketika sesi pembelajaran di premis tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak tadika itu pukul 11.42 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikerah dalam operasi berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kepala kanak-kanak lelaki itu masih tersepit pada kerusi tersebut. Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi menyelamatkan mangsa dalam tempoh lima minit,” katanya, hari ini.
Tambah Norazam, operasi menyelamatkan murid tersepit itu berjalan lancar dan tamat sepenuhnya pukul 11.54 pagi.
“Murid itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa kemudian diserahkan kepada pengurusan tadika bagi urusan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN