Menteri Besar, Ketua Menteri enam negeri dijangka bertemu bincang tarikh PRN - Utusan Malaysia

Menteri Besar, Ketua Menteri enam negeri dijangka bertemu bincang tarikh PRN

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu pertemuan di antara Menteri besar dan Ketua Menteri enam buah negeri yang belum mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dijangka akan diadakan bagi membincangkan tarikh sesuai supaya pilihan raya tersebut dapat diadakan bersama-sama.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan bertemu rakan sejawat mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Saya bersama Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang akan berjumpa dengan rakan sejawat kami di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk diputuskan bersama-sama tarikh, supaya kami bincangkan dan maklumkan bersama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tarikh yang sesuai untuk diadakan (PRN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Sembilan Sesi 2023-2024 di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan turut bersependapat dengan Kon Yeow bahawa bulan Jun ini adalah waktu yang paling sesuai untuk mengadakan PRN.

“Kalau bulan Mei bubar,  bulan enam lah pilihan raya, sama sahaja (pendapat) saya dengan beliau, lebih kurang itu (PRN) dapat diadakan pada bulan Jun.

“Ia juga beri peluang untuk parti-parti lain,  berkempen dan bersedia , itu yang sepatutnya,” katanya lagi.

Beliau semasa berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 PKR Negeri Sembilan baru-baru ini menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini akan dibubarkan pada bulan Mei bagi memberi laluan kepada PRN. 

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang hari ini pula dilaporkan berpendapat bahawa bulan Jun ini adalah waktu yang paling sesuai untuk mengadakan PRN.

Ini kerana katanya, tempoh yang ada pada masa ini adalah singkat untuk semua pihak bersedia sebelum DUN di negeri masing-masing dibubarkan.

Beliau turut memberikan pandangan bahawa tarikh PRN pada bulan Jun itu boleh diumumkan lebih awal pada bulan Januari ini atau Februari depan bagi mengurangkan ketidakpastian dan akan membuatkan orang ramai lebih bersedia untuk menghadapi PRN.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya