Mekanik maut dirempuh kereta sebelum masuk simpang

Mekanik maut dirempuh kereta sebelum masuk simpang

KEADAAN motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan di Kilometer 43, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang, malam tadi.UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh tiga buah kereta semasa sedang berhenti untuk membelok masuk ke simpang di Kilometer 43, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran simpang tiga Kemuning di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa, Nabil Iqbal Rahman, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian apabila tercampak ke atas jalan raya selepas dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang jurujual.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, selain itu, motosikal jenis Honda Wave 125S ditunggang mangsa turut dirempuh dua buah kereta lain dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak nahas tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal seorang diri sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai memberhentikan motosikalnya di tengah jalan untuk membelok ke simpang di sebelah kanan jalan.

“Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari arah sama merempuh bahagian belakang motosikal itu. Pada masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan Proton Wira dari arah bertentangan tidak sempat mengelak nahas itu sebelum melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mohd. Adli, memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, nahas itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta jenis Perodua Kancil tidak menggunakan lorong laluan sah dan melanggar motosikal yang berada di laluan untuk memasuki simpang ke kanan jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya