KUANTAN: Mayat wanita dipercayai lemas akibat terjatuh di Jeti Tanjung Punai, Sungai Belat di Pulau Biawak, Batu 3 di sini ditemukan kira-kira pukul 11.36 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa, Suhada Othman, 42, dijumpai terapung kira-kira 50 meter dari lokasi wanita itu dipercayai terjatuh, kelmarin.
Menurutnya, semasa ditemukan, mayat mangsa dalam keadaan baik dan berpakaian serba hitam.
“Mayat mangsa ditemukan unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang. Mayat dibawa ke darat untuk tujuan pengecaman dan anak mangsa mengesahkan bahawa itu adalah ibunya seperti mana dilaporkan.
“Mangsa seterusnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung hari kedua hari ini membabitkan 10 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Polis Marin serta 20 anggota termasuk pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan.
“Pencarian tertumpu kepada rondaan menggunakan bot di sepanjang sungai itu meggunakan tiga buah bot milik Polis Marin dan JBPM.
“Tindakan mengesan mangsa juga dilaksanakan melalui cara selaman oleh unit Skuba JBPM Kuantan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan lemas. Operasi turut mendapat bantuan unit K9 JBPM menggunakan dua ekor anjing pengesan iaitu Pop dan Blade,” katanya.
Wan Mohd. Zahari turut mengesahkan operasi SAR ditamatkan pukul 11.50 pagi ini. – UTUSAN