Mayat reput ditemukan dengan kesan tembakan di kepala

Mayat reput dengan kesan tembakan di kepala ditemukan di Sungai Golok

KAWASAN Sungai Golok yang menjadi pemisah sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan-UTUSAN/IHSAN PGA 7
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan reput dengan kesan tembakan di kepala selepas tersangkut pada sebatang pokok tepi tebing Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Berek 12, Bukit Bunga, Tanah Merah, petang semalam.

Mayat tersebut ditemukan pada pukul 3 petang oleh seorang pemancing yang sedang melakukan aktiviti tersebut di kawasan berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati mayat lelaki yang hanya memakai seluar dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua minggu lalu.

Menurutnya, setakat ini, polis masih belum dapat mengenal pasti identiti lelaki itu sama ada merupakan rakyat tempatan atau warga asing.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat. Selain itu, polis turut mengambil cap jari mangsa dan akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Siasatan awal berdasarkan kesan empat tembakan pada kepala mangsa, lelaki itu dipercayai ditembak daripada jarak dekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Wakaf Bharu di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata, sehubungan itu, pihaknya sudah bekerjasama dengan polis di Thailand untuk menyiasat kes itu lebih lanjut.

Katanya, setakat ini, polis masih belum mendapat sebarang maklumat sama ada kejadian mangsa ditembak berlaku di negara ini atau di Thailand.

“Sehubungan itu, kita sudah menguar-uarkan berhubung penemuan mayat lelaki itu sekiranya ada ahli keluarga dalam kalangan masyarakat di sini yang hilang sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya