Mayat pendaki dipercayai lemas di Sungai Tanum ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat pendaki dipercayai lemas di Sungai Tanum ditemukan

MAYAT pendaki lelaki yang lemas ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat di Sungai Tanum, Merapoh di Lipis, Pahang. - FOTO /IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Mayat seorang pendaki lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Tanum dalam kawasan Taman Negara Sungai Relau, Merapoh di sini ditemukan pukul 11.20 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, mangsa, Haniff Harun, 47, sudah pun meninggal dunia ketika ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam jarak kira-kira 300 meter dari tempat dia mula terjatuh.

“Mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, operasi mencari dan menyelamat bermula kira-kira pukul 3 petang semalam selepas menerima maklumat kejadian itu dan disambung semula pada hari kedua bermula pukul 9 pagi hari ini sehinggalah mayat mangsa ditemukan.

Katanya, berikutan kejadian itu semalam, polis membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memudahkan perhubungan serta penugasan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dan ditutup sepenuhnya pukul 1 tengah hari ini apabila mayat mangsa ditemukan.

“Penugasan SAR dalam kejadian ini melibatkan 15 orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 18 anggota bomba termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Di Gunung dan Gua (MOCSAR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (11 orang) dan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Merapoh (22 orang).

“Keseluruhan penugasan sepanjang dua hari ini melibatkan seramai lapan orang pegawai dan 58 orang anggota pasukan berkenaan dengan dibantu enam buah kenderaan hilux dan tiga buah bot gentian kaca,” katanya.

Dalam kejadian semalam, Haniff beralamat Kampung Paloh Haji Daud, Kuala Terengganu antara seramai 10 orang kumpulan pendaki mula mendaki Gunung Tahan melalui Kuala Juram, Merapoh pada 20 Januari lalu dan dijangka turun semula, esok.

Mangsa dikhuatiri jatuh dan lemas di Sungai Tanum dalam kawasan Taman Negara Sungai Relau setelah kumpulan tersebut berpatah balik ke Kuala Juram berikutan hujan turun dengan lebat.

Balai Polis Merapoh menerima maklumat semalam pada pukul 2.20 petang tentang kejadian tersebut dan usaha mencari serta menyelamat digerakkan oleh anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Kuala Lipis termasuk MOCSAR dan polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya