TEMERLOH: Mayat seorang lelaki dipercayai lemas ketika memancing berhampiran jambatan Mempatih, Lanchang di sini pada Selasa lalu ditemukan terapung hari ini.
Mayat mangsa, Muhammad Ikram, 23, ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) pukul 8.30 pagi.
Timbalan Pengarah (Operasi) JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat dijumpai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
Menurutnya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan yang sempurna dan berseluar.
“Muhammad Ikhram dilaporkan memancing bersama rakannya sebelum dikatakan terjatuh dari tebing sungai itu.
“Ketika ditemukan, mayat mangsa dalam keadaan sempurna dan sudah dihantar ke hospital berhampiran bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ini insiden kedua selepas seorang lelaki berusia 19 tahun lemas di Sungai Pahang berdekatan Kampung Batu Bor, Bera empat hari lalu. – UTUSAN