GUA MUSANG: Masyarakat Tionghoa kembali ‘menyerbu’ Tokong Swee Nyet Keung atau Tokong Mek di Kampung Pulai di sini untuk menyambut Tahun Baharu Cina selepas rumah ibadat itu ditutup selama dua tahun dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Sebelum ini, tokong yang dipercayai berusia lebih 600 tahun ditutup selama dua tahun daripada sebarang aktiviti keagamaan sebagai mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati walaupun hujan, masyarakat Tionghoa tidak melepaskan untuk melakukan upacara agama dan bergambar kenangan dikawasan tersebut.
Seorang pengunjung, Leong Mee Yee, 45, berkata, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini lebih meriah selepas dua tahun perayaan itu disambut secara sederhana susulan pandemik Covid-19.
Menurutnya, dia yang bekerja di Singapura sudah dua tahun tidak dapat balik ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga.
“Saya tiba semalam selepas menempuh kesesakan lalu lintas terutamanya di Bentong, Pahang.
“Cuaca hujan di daerah ini hujan sejak semalam, namun saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke Tokong Mek untuk berdoa bersama ahli keluarga lain,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Seorang lagi pengunjung, A. Shohael, 30, berkata, selepas dua tahun, ini merupakan kali pertama dia bersama isterinya yang berketurunan Tionghoa merayakan Tahun Baharu Cina bersama keluarga mentuanya di sini.
Katanya, mereka berkunjung ke Tokong Mek yang merupakan tarikan pelancongan di daerah ini sebelum melakukan aktiviti ziarah keluarga dan teman rapat.-UTUSAN