KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang wanita mengandung yang mengalami komplikasi dari Pulau Tioman, Rompin ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam tadi.
Pesakit, Afika Abu Bakar, 22, mengalami kontraksi kelahiran pramatang yang memerlukan rawatan segera diterbangkan dengan helikopter milik Maritim Malaysia dari Klinik Kesihatan Tekek berikutan keadaan laut bergelora, kira-kira pukul 8.50 malam.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan dari MRCC Putrajaya kira-kira pukul 6.20 petang.
Menurutnya, usaha tersebut bagi memindahkan pesakit ke hospital untuk pembedahan berikutan dijangka berdepan kelahiran segera.
“Helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia terbang dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) tiba di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sekitar pukul 8.50 malam untuk mengambil pesakit tersebut dan telah mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Kuantan (TUDM) kira-kira pukul 9.15 malam sebelum ke HTAA menggunakan ambulan.
“Penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Tengku Zamel Tengku Zalwai, dibantu pembantu juruterbang Leftenan Komander Maritim Muhammad Mahathir Ahmad serta dua kru udara.
“Turut mengiringi pesakit dalam penerbangan ini adalah suaminya, seorang pegawai perubatan dan seorang jururawat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penerbangan ihsan itu adalah kali kedua membabitkan kes perubatan di negeri ini dalam tempoh seminggu.
“Kali ini membabitkan seorang wanita mengandung dengan usia kandungan 32 minggu (lapan bulan) setelah menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin pra matang.
“Namun begitu, pesakit itu tidak dapat dihantar dengan bot ambulans kerana laut bergelora pada masa ini dan kini, pesakit tersebut masih dalam proses rawatan untuk mengelakkan proses kelahiran pramatang,” katanya. – UTUSAN