Lelaki seluar celoreng curi motosikal - Utusan Malaysia

Lelaki seluar celoreng curi motosikal

SEORANG lelaki disyaki melarikan sebuah motosikal yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pada 23 Januari lalu di kawasan premis perniagaan di Taman Yayasan, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang lelaki berseluar celoreng dikehendaki polis kerana disyaki mencuri motosikal milik seorang wanita di hadapan sebuah premis perniagaan di Taman Yayasan, di sini Isnin alu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9.15 malam.

“Aksi pemuda itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan. Dalam rakaman berdurasi 15 saat itu, lelaki terbabit dilihat menolak motosikal berkenaan sebelum dia memecut kenderaan itu.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, suspek lelaki memakai baju T gelap berseluar celoreng serta menyandang beg galas merah.

“Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an menyedari kehilangan motosikal Dayang DY90 3A berwarna gelap yang diletakkan di tempat di sekitar premis berkenaan selepas dia pergi membeli-belah kira-kira pukul 9 malam, Isnin lalu,” katanya ketika ditemui di IPD Segamat hari ini.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Buloh Kasap pukul 10 malam pada hari kejadian, katanya sambil memaklumkan motosikal tersebut mungkin untuk kegunaan sendiri atau komponennya dijual serta kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki Itu diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menerusi talian 07-9312222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN