Lelaki maut dilanggar kereta selepas solat Subuh di sebuah surau di Lipis - Utusan Malaysia

Lelaki maut dilanggar kereta selepas solat Subuh di sebuah surau di Lipis

MAYAT pejalan kaki yang maut dilanggar sebuah kereta dibawa ke Hospital Lipis selepas kemalangan jalan raya di laluan Ops Selamat berdekatan Kampung Selindang, Berchang di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN PENGUNJUNG HOSPITAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang lelaki berusia 41 tahun maut dilanggar sebuah kereta di Kilometer 19, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Kampung Selindang, Berchang di sini hari ini.

Dalam nahas pukul 6.50 pagi hari ini, mangsa yang bertugas sebagai pembantu makmal beralamat di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa yang berjalan kaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan.

“Melihat seorang pejalan kaki melintas jalan, pemandu kereta jenis Proton Saga yang berusia 38 tahun dalam dalam perjalanan dari arah Padang Tengku untuk ke tempat kerja di Hospital Kuala Lipis mempertahankan kenderaannya.

“Bagaimanapun mangsa berpatah balik ke arah asal (belakang) dan pada masa yang sama kereta yang dipandu petugas hospital berkenaan cuba mengelak ke kiri namun telah terlanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Menurut Azli, bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan selepas ujian saringan Covid-19 dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian si mati melintas jalan tidak berhati-hati dan tanpa waspada,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kerosakan kecil pada bumper hadapan kereta Proton Saga serta cermin depan retak dan polis masih meneruskan siasatan lanjut tentang kemalangan itu.

Sementara itu, seorang jemaah Surau Kampung Selindang yang enggan namanya dikenali berkata, mangsa tersebut baharu selesai menunaikan solat Subuh di surau di situ dan melintas jalan untuk menaiki kenderaannya yang diparkir di seberang jalan tersebut.

“Mangsa bersama ahli keluarganya dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kelantan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara terdekat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya