RAUB: Seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda ditahan oleh anggota penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Raub kerana disyaki melonggokkan sisa kulit durian di kawasan kebun sawit Jalan Tras di sini hari ini.
Pengarah SWCorp negeri, Sharudin Hamid berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an tersebut ditahan pada pukul 10.30 pagi.
“Sebelum itu anggota penguatkuasa SWCorp Raub menjalankan operasi serta pemantauan berkala di kawasan pembuangan sampah haram daerah ini berikutan peningkatan aduan pembuangan kulit durian di sini.
“Tindakan selanjutnya diambil dan kertas siasatan dibuka bagi menuduh si pelaku di bawah Akta 672 dan melupuskan sisa di tempat yang dibenarkan sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sharudin, lelaki terbabit didapati bersalah di bawah Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) kerana disyaki cuba membuang sisa kulit durian di tempat dilarang.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Ujarnya, SWCorp meminta semua pengusaha durian di Raub supaya mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan di bawah Akta 672 dan melupuskan sisa di tempat yang dibenarkan sahaja. – UTUSAN