KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) wanita pula didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM112,000.
Semalam, empat individu termasuk seorang CEO mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan melibatkan tuntutan insentif melebihi RM500,000.
Di hadapan Hakim Azura Alwi, Noorun Nashriah Ramli, 41, yang merupakan CEO sebuah syarikat pengendalian program latihan mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, wanita itu sebagai CEO sebuah syarikat didakwa memberikan suatu dokumen palsu melalui seorang individu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya yang kesemuanya berjumlah RM112,000.
Tindakan itu didakwa dengan niat memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dokumen palsu iaitu Program Latihan Insentif Pekerja (Penjana) kepada empat pegawainya yang mana tuntutan program dibuat walaupun tidak dihadiri oleh peserta yang berdaftar dengan Perkeso.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Perkeso Putrajaya antara 13 Julai dan 1 Oktober 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohammad Shaiful Nasir menawarkan jaminan RM80,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabar SPRM sekali sebulan.
Bagaimanapun peguam Lum Kok Kiong yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menyara dua anak selain ibu dan bapanya.
“Bagi serahan pasport, kami mohon ia diserahkan selepas tertuduh pulang daripada menunaikan umrah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.
“Mahkamah membenarkan pasport diserahkan pada hari sebutan kes pada 14 Februari ini,” kata Azura.
Sementara itu dua Mahkamah Sesyen berlainan, seorang pengusaha kantin sekolah, Amir Shariffuddin Haron, 56, dan pengusaha kedai makan, Farhan Taufik, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing melibatkan jumlah tuntutan insentif RM78,700.
Kedua-dua tertuduh didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama sebuah syarikat melalui seorang lelaki kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso bagi menuntut insentif tersebut.
Mereka dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu mengandungi nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan itu bukan pekerja dua syarikat berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini masing-masing pada 5 Mac dan 1 Jun 2021.
Hakim Rozina Ayob membenarkan Amir Shariffuddin diikat jamin RM8,000 manakala Hakim Suzana Hussin membenarkan Farhan dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-duanya turut dikenakan syarat tambahan yang sama dan sebutan kes masing-masing ditetapkan pada 14 Februari dan 10 Februari ini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Abd. Muntaqim Abdul Aziz dan Ikhwan Zaudii Nordin manakala Amir Shariffuddin diwakili peguam Hasmah Nordin dan Farhan tidak diwakili peguam.
Pada 14 Julai 2022, media melaporkan SPRM mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.
Kesemua individu yang terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif itu ditahan dalam Ops Hire yang dilancarkan di seluruh negara dengan kerjasama Perkeso. –UTUSAN